Apa perlu anda tahu tentang Threads?

Media Sosial

Aplikasi Threads yang diasaskan oleh Meta kini telah dilancarkan pada 6 Julai dan tersedia untuk dimuat turun di iOS dan Android bagi membolehkan pengguna mendaftar dan menggunakan aplikasi berkenaan.

Threads menggunakan akaun Instagram untuk tujuan pendaftaran, dan pengguna akan menggunakan nama pengguna yang sama seperti pada platform Instagram. Pengguna juga diberikan pilihan untuk mengimport gambar serta biografi profil terus dari Instagram dengan mudah.

Sambutan hangat aplikasi Threads adalah sesuatu yang berada di luar jangkaan, lebih-lebih lagi aplikasi yang perlu bersaing dengan beberapa aplikasi mikroblog yang lain. KlikGrafik kongsikan beberapa informasi dan fakta menarik tentang pelancaran Threads dan apa yang dapat anda jangkakan dalam beberapa minggu ini.

10 juta pendaftaran pengguna baharu Threads dalam tempoh 7 jam

Aplikasi Threads yang dilancarkan serentak di 30 buah negara utama dunia menerima lebih 2 juta pendaftaran pengguna dalam tempoh dua jam, dan lebih 10 juta dalam tempoh 7 jam sahaja. Angka ini dinyatakan oleh Mark Zuckerberg yang berkongsi maklumat di Threads miliknya.

Faktor daftar akaun yang mudah dengan hanya menggunakan akaun Instagram sahaja dan tiada proses pengesahan identiti bagi akaun-akaun jenama, tokoh dan pemilik akaun yang disahkan di Instagram menjadikan Threads adalah aplikasi yang menjadi pilihan seterusnya untuk mengembangkan pemasaran mereka.

Threads adalah pesaing Twitter

Teramat jelas apabila pengguna menggunakan Threads, aplikasi ini kelihatan mirip dengan aplikasi Twitter yang menawarkan mikroblog tetapi menawarkan elemen antaramuka seumpama Instagram.

Walaupun Twitter merupakan aplikasi popular, namun dengan pelbagai perubahan drastik yang dilakukan seperti had pembacaan 6000 bacaan bagi akaun yang disahkan dan 600 bacaan bagi akaun biasa menyebabkan pengguna kini mencari alternatif aplikasi yang lain. Twitter juga menawarkan ‘Twitter Blue’ yang dilihat memberikan keuntungan kepada aplikasi berkenaan dan tidak disenangi oleh pengguna yang telah lama menggunakan aplikasi tersebut. Kehadiran Threads kelihatan adalah tepat pada masanya dan mampu untuk ‘membunuh’ populariti Twitter jika tiada tindakan tepat oleh Twitter.

Tiada Threads di Eropah

Undang-undang negara Kesatuan Eropah berkenaan data peribadi adalah amat ketat. Undang-undang yang tertakluk di negara tersebut menyebabkan Facebook dan Instagram yang menawarkan iklan atas talian melalui pengumpulan data peribadi adalah tidak dibenarkan. Aplikasi Threads yang berada di bawah satu bumbung bersama Facebook dan Instagram dijangka akan menghadapi situasi yang sama.

Wakil Meta tidak memberikan maklum balas rasmi sama ada Threads akan ditawarkan ke pasaran EU di masa hadapan.

Profil Threads boleh dipadam apabila profil Instagram dipadam

Mungkin ini adalah satu kelemahan Threads yang akan membuatkan anda berfikir banyak kali untuk menggunakan aplikasi ini.

Menurut polisi yang dinyatakan oleh Meta, pengguna Threads boleh menyahaktif profil Threads dengan cara memadamkan akaun Instagram mereka.

Apa-apa pun, aplikasi Threads pastinya akan menerima beberapa kemaskini yang akan membolehkan pengguna dapat menggunakan aplikasi dengan maksimum seterusnya dapat berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga, mahupun tokoh dan artis kegemaran. Kemaskini ini dijangka akan diberikan secara berperingkat kepada pengguna. – KlikGrafik

Leave a Reply